Bahan Pengajaran Bahasa Malaysia

PENJODOH BILANGAN
                                                                                                                        
           Maksud penjodoh bilangan ialah kata yang digunakan bersama-sama dengan kata bilangan kata nama konkrit (bukan abstrak) seperti orang haiwan, benda, tempat, dan sebagainya.

            Pendeta Za'ba menamakan penjodoh bilangan sebagai "pemadan bilangan".


Dalam bahasa Melayu, kata nama hidup dapat dibahagikan kepada dua, iaitu manusia dan bukan manusia. Penjodoh bilangan untuk manusia berbeza daripada penjodoh bilangan bukan manusia.
Penjodoh bilangan untuk manusia bergantung pada jumlah bilangan nombor atau bilangan kuantiti. Penjodoh bilangan untuk manusia yang menunjukkan jumlah bilangan ialah orang.
Bagi bilangan yang menunjukkan kuantiti pula, penjodoh bilangannya ialah kumpulan, pasukan dan gerombolan.
Beberapa ayat contoh yang menggunakan penjodoh bilangan tersebut ialah:

1.Seorang pelancong asing sedang makan di restoran itu.
2. Enam orang kanak-kanak tadika bermain di padang permainan.
3. Beberapa kumpulan sukarelawan telah berangkat sebentar tadi.
4. Dua pasukan kriket di daerah kami bertemu dalam perlawanan akhir.
5. Segerombolan pengganas telah ditawan oleh askar kerajaan di tepi rawa.

Penjodoh bilangan gerombolan digunakan untuk kumpulan orang jahat, seperti samseng, pengganas, penjenayah, penjarah, penyamun dan seumpamanya.


        Organ di dalam tubuh manusia seperti usus, jantung, paru-paru, pankerias, hempedu, limpa dan lain-lain tidak menggunakan penjodoh bilangan, kecuali organ hati yang diberi penjodoh bilangan keping, seperti sekeping hati.

Penjodoh bilangan untuk benda bernyawa bukan manusia dapat dibahagikan kepada dua, iaitu binatang dan makhluk lain.
Penjodoh bilangan untuk binatang juga bergantung pada jumlah bilangan atau jumlah kuantiti.

Bagi menunjukkan jumlah bilangan (nombor), penjodoh bilangannya ialah ekor. Penjodoh bilangan yang menunjukkan kuantiti pula ialah kawan. Contoh dalam ayat:
1.   Saya membeli dua ekor itik nila.
2.   Beberapa ekor kerbau berkubang di sawah.
3.   Pemburu itu terserempak dengan sekawan gajah.

             Penjodoh bilangan ekor digunakan untuk semua binatang, sama ada bersaiz besar atau kecil, tidak kira binatang itu mempunyai ekor atau tidak. Semut, ketam dan siput binatang yang tidak mempunyai ekor, tetapi tetap menggunakan penjodoh bilangan ekor.

Binatang yang menerima penjodoh bilangan ialah binatang yang dapat dikira dan dilihat. Binatang yang bersaiz mikro, yakni yang bersaiz halus seperti bakteria, ameba, virus, kuman, dan protozoa tidak menggunakan penjodoh bilangan.

            Kita tidak menyebut seekor bakteria, lima ekor virus atau beberapa ekor kuman.

Jenis benda bernyawa bukan manusia yang kedua, iaitu makhluk asing, ialah seperti malaikat, syaitan, iblis, bidadari dan bunian.

Masyarakat Melayu menggolongkan makhluk jenis ini kepada dua, iaitu golongan yang baik dan golongan yang jahat.
Makhluk yang baik dikatakan berperangai seperti manusia. Makhluk tersebut ialah bidadari dan bunian, dan penjodoh bilangannya ialah orang.
1.      Tujuh orang bidadari telah turun dari kayangan ke   
         taman tuan puteri.
2.     Orang kampung mengatakan Tok Ketua telah berkahwin dengan seorang bunian.

Demikian huraian berkenaan dengan penjodoh bilangan untuk kata nama benda hidup. Dalam siaran akan datang, dibincangkan pula penjodoh bilangan bagi benda tidak bernyawa.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

LATIHAN UJI DIRI

Arahan :  Gariskan jawapan yang betul dalam kurungan.

1.   Susila ada dua  ( buah , orang ) adik.

2.  Di dalam bekas itu ada tiga ( ketul , potong ) kuih.

3.  Abang makan tiga ( biji , cucuk ) sate ayam.

4.  Di atas meja itu ada lima ( cebis , helai ) tuala.

5.  Kotak itu diikat dengan  dua ( urat , utas ) tali.

6.  Ibu memetik beberapa ( biji , kuntum) bunga ros.

7.  Rita membeli tiga ( buah , buku ) sabun mandi.

8.  Kakak memakai dua ( butir , bentuk ) cincin.

9.  Nenek memasukkan beberapa ( bungkus , hiris ) bawang ke dalam masakannya.

10.  Polis melepaskan beberapa ( das, gugus) tembakan ke arah penjahat itu.



&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Kata nama am

1.   Untuk orang, haiwan,benda, tempat dan tumbuh-tumbuhan.

2.   Ditulis dengan huruf kecil.

Contoh:

i)    orang
       guru, emak, doktor, adik, bapa

ii)   haiwan
       kucing, tikus, arnab, ikan

iii)  benda
       almari, kasut, kereta, komputer, buku

iv)   tempat
        padang, dewan, surau, pantai, kantin

v)    tumbuhan-tumbuhan
        orkid, padi, kelapa sawit, bayam


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Kata Nama Khas


1.    Untuk orang , benda , haiwan, dan tempat

2.   Menggunakan huruf besar pada huruf pertama.

Contoh:

i)      orang
         Amin, Encik Tan , Puan Suraya, Ratnam

ii)     benda
         Myvi , Dewan Pelajar, Honda, Toshiba

iii)    haiwan
          Si Tompok, Pak Belang, Si Comel

iv)    tempat
         Stadium Bukit Jalil, Muzium Negara, Melaka


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Kata Ganti Diri

1.     Digunakan untuk menggantikan nama seseorang.

Kata ganti diri pertama
Merujuk kepada orang yang bercakap.

Contoh:

        aku, saya, hamba, patik, beta, kami, kita.

Kata ganti diri kedua
Merujuk kepada orang yang bercakap dengan kita.

Contoh:

      kamu, awak, engkau, anda, saudari

Kata ganti diri ketiga
Merujuk kepada orang yang diperkatakan.

Contoh:

       dia, beliau, baginda,mereka.


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&

Kata ganti tunjuk

1.     kata "ini" dan "itu".

2.    Untuk menunjukkan sesuatu seperti haiwan, manusia, tempat dan benda.

3.    Kata "ini" digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang dekat.

4.    Kata "itu" digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang jauh.

Contoh ayat:

i)   Ini buku saya.

ii)  Rumah itu cantik.



&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


1 comment:

  1. Nota dan latihan yang dipaparkan sangat berguna dan sesuai!

    ReplyDelete